Perak bentang Belanjawan 2023 RM1.19 bilion

in Edisi by

Saarani menunjukkan buku Belanjawan Perak 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.

IPOH – Perak membentangkan Belanjawan 2023 berjumlah RM1.19 bilion dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta dan pembangunan RM395 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ itu merangkumi lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan, kelestarian alam sekitar, keterjaminan bekalan makanan serta pembangunan modal insan dan belia.

Menurutnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 akan ditutup dengan jangkaan defisit RM30.0 juta.

Antara yang mencuri tumpuan ialah peningkatan peruntukan bagi tujuan pembangunan yang meningkat sebanyak RM93 juta berbanding tahun 2022 dengan kebanyakannya disalurkan bagi tujuan program-program kesejahteraan rakyat.

“Peningkatan ini mengambil kira keperluan yang perlu dibelanjakan demi manfaat rakyat secara keseluruhan.

“Asbab utama peningkatan adalah komitmen bagi projek fizikal merangkumi pembinaan, pembaikan dan kerja naik taraf pelbagai infrastruktur dan fasiliti serta program kesejahteraan rakyat,” katanya dalam Pembentangan Bajet 2023 sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada Khamis.

Saarani berkata, menyedari realiti ketidaktentuan iklim ekonomi yang masih menyelubungi kehidupan rakyat, kerajaan negeri merangka pelbagai program dan projek ke arah mencapai kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dengan peruntukan berjumlah RM373.8 juta.

Katanya, bagi membela kepentingan golongan sasar B40 yang terhimpit ekonomi, kerajaan negeri meningkatkan dana bagi pelaksanaan Program Kad Perak Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Program Kad Perak Prihatin kepada RM25.2 juta iaitu peningkatan RM2.4 juta berbanding tahun 2022.

“Kadar Bantuan Kad Makanan telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 sebulan untuk setiap penerima, manakala Kad Kesihatan kekal pada kadar RM150 setahun. Program ini dijangka akan dapat memanfaatkan 20,000 penerima,” katanya.

Selaras dengan kepentingan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat, agenda pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dengan penyediaan peruntukan RM21.4 juta bagi tujuan bantuan pendidikan dipelbagai peringkat pembelajaran.

“Komitmen turut diberikan bagi meneruskan program Tuisyen Cikgu Saarani yang bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan mahasiswa, tetapi juga para guru dan ibu bapa,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu menjelaskan, penaiktarafan dan penambahbaikan kemudahan prasarana menjadi satu fokus utama pembangunan negeri pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM257.5 juta bagi tujuan tadbir urus projek berkepentingan negeri.

Selain itu katanya, sebanyak RM162.6 juta akan dibelanjakan bagi aspek kelestarian alam sekitar bagi pelaksanaan pembangunan lestari dan teknologi hijau seiring dengan agenda di peringkat nasional dan global.

“Bagi pembangunan sektor pertanian, sebanyak RM55 juta diperuntukkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dalam memenuhi permintaan dan keperluan penduduk secara konsisten, mampu diperolehi, berkhasiat dan berkualiti.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM21.6 juta bagi Pembangunan Modal Insan dan Belia bagi pelaksanaan program berteraskan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang berasaskan teknologi dan inovasi,” katanya.