Perancangan bina lapangan terbang tertakluk NASP

in Edisi Perak by

Saarani ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh. – Foto Korporat SUK Perak

IPOH – Perancangan pembangunan lapangan terbang antarabangsa di Perak tertakluk kepada hasil Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan itu dijangka dimuktamadkan pada 7 September tahun hadapan.

“Kementerian sedang menjalankan kajian ke atas semua 42 lapangan terbang sedia ada di seluruh negara.

“Kajian sedang berlangsung sejak 7 Mac lalu memberi tumpuan kepada unjuran permintaan perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan lapangan terbang sedia ada,” katanya pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan (DUN) Negeri Perak pada Khamis.

Isu penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa di negeri ini dibangkitkan oleh Angeline Koo Haai Yen (DAP-Keranji) yang mencadangkan kerajaan negeri membatalkan perjanjian untuk diambil alih semula tapak bagi meneruskan projek berkenaan.

Saarani (BN-Kota Tampan) menjelaskan tanah bagi pembinaan lapangan terbang itu bukan lagi milik kerajaan sebaliknya diberi kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Perjanjian jual beli telah pun dimeterai. Pembinaan lapangan terbang baharu akan meningkatkan limpahan ekonomi negeri.

“Perak berhasrat menyediakan tapak bagi mengadakan lapangan terbang antarabangsa seterusnya membolehkan kita melangsungkan kempen dalam bentuk pelancongan termasuk pelancongan kesihatan,” katanya.

31 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa tanah yang dicadangkan untuk dibangunkan sebagai lapangan terbang di Seri Iskandar telah dijual kepada syarikat swasta ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Saarani berkata, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), tanah tersebut diberikan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang tersebut.

Tanah tersebut bagaimanapun tidak boleh diambil semula memandangkan syarikat berkenaan sudah mendapat kebenaran merancang bagi pelaksanaan pembangunan bercampur.