Projek RTB: Jimat RM1.8 bilion menerusi proses tender terpilih

in Nasional by

Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2022 (HPPK2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis. Foto Bernama
PUTRAJAYA – Proses tender terpilih untuk cadangan projek rancangan tebatan banjir (RTB) akan membolehkan penjimatan RM1.8 bilion kepada kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan RM15 bilion untuk RTB menerusi rundingan terus tanpa tender menyebabkan kos projek melambung.

Justeru, beliau berkata, Kementerian Kewangan (MOF) diarah berunding semula dengan syarikat berkaitan menerusi proses tender terpilih.

“Bayangkan RM1.8 bilion boleh diselamatkan dari projek RM15 bilion. Ini isu tatakelola yang baik, pimpinan harus pastikan jangan ada ketirisan, bukan soal politik tetapi soal rakyat.

“RM1.8 bilion kalau dipulangkan kepada penjaja, bayangkan…,” katanya pada Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK 2022) pada Khamis.

Menurut Anwar soal tatakelola dan kebertanggungjawaban pengurusan kewangan perlu diutamakan dalam pemerintahan dan membela nasib rakyat.

Pada 6 Disember lalu, Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM15 bilion yang dilaksanakan menerusi rundingan terus supaya diteliti semula. – Bernama