Reda ibu meninggal dalam perjalanan ke klinik

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Nur Qaleesya (kanan) menunjukkan gambar Allahyarham Norazmira. Turut kelihatan Mohamad Nazrul (kiri) bersama dua lagi anaknya.

SEREMBAN – Bukan mudah untuk seorang anak berusia 12 tahun menerima hakikat ibunya meninggal dunia di depan mata.

Lebih menyayat hati apabila ibu kepada Nur Qaleesya Adilah, 12, meninggal dunia ketika dua beranak itu dalam perjalanan ke klinik di Dataran Senawang, Ahad lalu.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik berkenaan, dia menemani ibunya Norazmira Abdul Wahab ke klinik selepas Allahyarhamah mengadu mengalami sesak nafas.

“Lebih kurang jam 4 pagi dia (arwah ibu) kejutkan saya beritahu mahu ke klinik untuk mendapatkan bantuan pernafasan.

“Ketika dalam perjalanan, kereta dipandu (arwah) ibu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam longkang,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Persatuan Cakna Rasa Sayang di rumah neneknya di Taman Alamanda, Senawang di sini pada Khamis.

Kata Nur Qaleesya, selepas kejadian itu ibu terus tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan di lokasi.

Jelasnya, Allahyarham sememangnya mempunyai masalah asma yang agak teruk sejak kecil.

Sementara itu katanya, dia mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk memasuki asrama kerana mahu membantu ayah menjaga dua adik yang masih kecil iaitu Mohamad Qhalish, 7, dan Nur Qaleesya Adileena, 3.

“Dah lama saya simpan hasrat masuk asrama kerana mahu belajar berdikari. Permohonan untuk masuk asrama pun dah dibuat.

“Tapi nampaknya saya mungkin terpaksa batalkan hasrat itu. Kalau saya masuk asrama, siapa yang nak tengok-tengokan adik,” katanya.

Sementara itu bapanya, Mohamad Nazrul Nor Azmir, 39, yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja dan dalam perjalanan ke Melaka.

“Lebih kurang jam 4.30 pagi saya terima panggilan daripada Nur Qaleesya yang beritahu dia dan ibunya terbabit kemalangan.

“Saya buat keputusan berpatah balik ke Seremban dan sebaik sampai di lokasi setengah jam kemudian saya hanya mampu tergamam apabila diberitahu isteri sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, kehilangan isteri sekelip mata menyebabkan dia terpaksa mengubah sepenuhnya jadual kerjanya selepas ini.

Ini kerana kata Mohamad Nazrul, selama ini isteri yang mengambil peranan sepenuhnya mengurus anak-anak di rumah.

“Saya selalu kerja luar, jadi arwah yang banyak membantu urusan di rumah.

“Bila diberitahu isteri dah meninggal saya rasa macam mimpi, tak percaya. Tapi saya reda dan kini hanya fikir mahu besarkan anak-anak,” katanya.