Sentiasa dedah langkah banteras rasuah

in Khas by

Pameran mengenai gejala rasuah ternyata menjadi tumpuan pelajar sempena Minggu Integriti UTM 2022/2023, Selasa lalu.Rachel

JOHOR BAHRU – Rakyat di negara ini perlu sentiasa diberikan pendedahan termasuk langkah-langkah bagi membanteras gejala rasuah agar tidak terus berleluasa.

Menurut pelajar Fakulti Sains Komputer, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, R.Navindran, 19, pendedahan berkenaan dilihat penting bagi memastikan jenayah berkenaan dapat dibanteras sepenuhnya di negara ini suatu hari nanti.

“Pada pandangan saya, rakyat di negara ini perlu sentiasa didedahkan mengenai jenayah rasuah kerana ia (rasuah) memang berlaku.

“Melalui pendedahan ini juga orang ramai akan dapat tahu bagaimana untuk banteras rasuah dan pihak berkuasa boleh kuatkuasakan lagi undang-undang seperti meningkatkan lagi (hukuman) denda atau panjangkan lagi tempoh penjara terhadap pesalah-pesalah rasuah,” katanya kepada Sinar Harian sempena Minggu Integriti UTM 2022/2023 di UTM Skudai, Selasa lalu.

Difahamkan, Minggu Integriti berkenaan merupakan program yang julung kali diadakan di UTM dalam usaha memupuk kesedaran mengenai jenayah rasuah kepada golongan pelajar.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sempena Minggu Integriti berkenaan seperti pameran dan juga forum berkenaan rasuah yang turut menampilkan pasukan Rasuah Busters negeri Johor.

**media[2030778]**

Seorang lagi pelajar, Rachel Kong, 21 menyifatkan penganjuran Minggu Integriti berkenaan berjaya memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai bahaya rasuah.

Malah pelajar Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga UTM Skudai ini berkata, menerusi poster, risalah serta pembentangan yang diadakan, dia dapat mengetahui lebih banyak mengenai keburukan dan impak negatif yang timbul akibat rasuah.

“Bagi saya, rasuah merupakan gejala sosial yang perlu dibendung kerana terlalu banyak kesan negatif yang timbul akibat rasuah.

“Oleh itu, masyarakat perlu memandang serius perkara ini dan bekerjasama bagi membanteras jenayah rasuah ini,” katanya.

Sementara itu pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM Skudai, Muhammad Aiman Mohd Sallehuddin, 19, berkata, rasuah memang terbukti sebagai satu jenayah dan, jika dibiarkan berleluasa, ia akan memberikan kesan yang buruk kepada generasi masa depan negara.

Justeru katanya, rakyat di negara ini harus bekerjasama bagi membanteras jenayah ini agar tidak terus berleluasa.

“Pada pendapat saya, rasuah merupakan satu jenayah dan rakyat negara ini perlu dalam usaha membanteras rasuah.

“Mungkin pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat bekerjasama dengan pihak Kementerian Pendidian Malaysia (KPM) atau dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) bagi mewujudkan Kelab Pencegah Rasuah di setiap sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT), suatu hari nanti,” katanya.