Senyap-senyap bina 'pulau'

in Global by

Imej satelit terbaharu diambil Maxar Technologies menunjukkan kemunculan ‘pulau buatan’ di Terumbu Eldad di Kepulauan Spratly. – Foto Agensi

MANILA – Filipina menzahirkan kebimbangan berhubung laporan yang mendakwa Beijing memperluaskan ‘pencerobohan’ mereka di Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian multilateral di Laut China Selatan.

Imej satelit menunjukkan kewujudan ‘pulau buatan baharu’ di mana sebuah kapal dilengkapi mesin pengorek hidraulik milik China juga didakwa beroperasi di perairan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Kami memandang serius terhadap aktiviti mencurigakan sedemikian.

“Beijing telah mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 yang memutuskan bahawa tuntutan hak sejarah mereka tiada asas undang-undang,” ujar Kementerian Luar Filipina pada Rabu sebagai respons terhadap laporan tersebut.

Kementerian itu menjelaskan ia telah meminta beberapa agensi untuk menyiasat perkara tersebut setelah Kedutaan China di Manila mendakwa ia sebagai ‘berita palsu’.

Kenyataan itu dikeluarkan kira-kira seminggu selepas Manila memfailkan bantahan diplomatik selepas kapal pengawal pantai Beijing ‘merampas secara paksa’ serpihan roket milik China yang diambil kapal tentera laut Filipina.

“Arahan Presiden Marcos Jr sangat jelas bahawa kami tidak akan melepaskan satu inci persegi pun wilayah Filipina,” jelas pemangku Setiausaha Pertahanan, Jose Faustino setelah pengganti Rodrigo Duterte itu berpendirian lebih tegas dan berikrar tidak akan membiarkan Beijing ‘memijak’ hak maritim mereka.

Sementara itu, pegawai Barat yang enggan identitinya didedahkan memaklumkan pulau buatan itu telah muncul di Terumbu Eldad di utara Spratly sejak lebih setahun lalu.

“Aktiviti serupa juga berlaku di Lankiam Cay yang dikenali sebagai Pulau Panata di Filipina,” katanya.

Difahamkan, beberapa imej lain menunjukkan perubahan fizikal di Terumbu Whitsun dan Sandy Cay yang mana ciri-ciri sebelum ini yang tenggelam kini berada secara kekal di atas garis air pasang.

Tindakan China memperluaskan ‘pencerobohan’ mereka di perairan itu telah mendorong negara di rantau berkenaan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan menjalankan kerja penambakan.

Menurut laporan Inisiatif Ketelusan Asia Maritim pada awal bulan lalu, Vietnam dilaporkan turut menggiatkan kerja pengorekan yang menghasilkan ‘pulau buatan’ seluas 170 hektar di perairan Spratly pada tahun ini. – AFP