Tanah runtuh: Peruntuk RM100,000 bantu waris, mangsa

in Edisi Selangor KL by

Peruntuk RM100,000 bantu waris, mangsa. – Foto Bernama
Razalif

SHAH ALAM – Yayasan Metamorphosis memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada semua mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.

Presiden Yayasan Metamorphosis, Datuk Razalif Mohd Zain berkata, waris keluarga yang meninggal dunia dan mangsa terlibat dalam kejadian itu masing-masing menerima sumbangan RM1,000.

Menurutnya, sumbangan itu dihulurkan sebagai tanda simpati kepada mereka yang terbabit dalam insiden berkenaan.

“Kita akan memanggil semua waris dan mangsa untuk menerima sumbangan dalam satu majlis penyerahan yang akan diadakan dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

**media[2031608]**

Razalif berkata, yayasan itu amat prihatin dengan apa yang berlaku, malah misi bantuan seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Malah katanya, sebanyak RM500,000 sudah disediakan sebagai keperluan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Ujarnya, bantuan itu diharap dapat mengurangkan tekanan kepada mangsa banjir yang mengalami kehilangan dan kerosakan harta benda.

“Kita sedia untuk menggerakkan pasukan untuk turut serta dalam misi kemanusiaan untuk membantu mereka yang berdepan kesusahan akibat banjir.

“Bantuan ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen dan kesungguhan yayasan untuk turut serta bagi bersama-sama kerajaan membantu rakyat,” kata beliau.