Tiga mayat bersama abu mangsa tanah runtuh tiba di Melaka

in Berita Semasa by

Kenderaan MPV yang membawa mayat mangsa tanah runtuh di Taman Machap Indah di Alor Gajah, pada Khamis.Michael Tai menunjukkan gambar empat beranak mangsa tanah runtuh di Batang Kali.

ALOR GAJAH – Suasana hiba menyelubungi sanak saudara empat mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor ketika tiga mayat bersama abu mayat tiba di kediaman mereka di Taman Machap Indah di sini, pada Khamis.

Ketua Kampung Machap Baru Michael Tai berkata, mayat Lai Chee Sam, 33, isterinya Lai See Tin, 33, dan anak lelaki mereka Janas Lai Ze Kai, 2, serta abu mayat anak perempuannya, Giselle Lai Yu Xi, 6, dibawa pulang ke Machap Baru dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna putih sebelum tiba pada jam 3.45 petang.

Menurutnya, pemergian empat beranak itu satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa malah penduduk yang mengenali mereka.

“Walaupun See Tin bekerja sebagai pengurus di Kuala Lumpur manakala isterinya See Tin hanya suri rumah namun kami saling mengenali antara satu sama lain.

“Setakat ini mayat anaknya Giselle yang ditemui pada Selasa malam telah pun dibakar pada Rabu di Tanah Perkuburan Cina Kesang, Jasin,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, pada Khamis.

Tambahnya, mayat tiga beranak itu akan dibakar dan dikebumikan pada Selasa ini di tempat yang sama dengan lokasi mayat anak perempuan mereka dibakar.

“Saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sam akan melihat pertolongan yang diperlukan keluarga ini sehinggalah urusan pengebumian mangsa selesai,” katanya.

**media[2031914]**

Mayat kesemua mereka ditemui secara berperingkat pada 18, 19 dan 20 Disember lalu.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dengan 61 dilaporkan selamat, manakala 30 disahkan terkorban dan tiga masih hilang.