Tragedi Batang Kali: Terkejut anak jiran jadi mangsa tragedi

in Berita Semasa by

Jeremy(kanan) bersama rakan setugas di tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father’s Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini.

BATANG KALI – Hati saya tersentak tatkala menerima khabar salah seorang mangsa merupakan anak kepada jiran saya, demikian luah salah seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang terlibat operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father’s Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini.

Jeremy Chew, 49, berkata, khabar duka itu dimaklumkan sendiri oleh keluarga jirannya ketika hari pertama kejadian.

“Sebaik menerima khabar tersebut, saya tanpa berfikir panjang terus menawarkan diri untuk terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini.

“Saya seorang usahawan, namun bagi saya tugas sebagai anggota APM lebih penting, saya mahu terlibat sama mencari mereka yang masih hilang ini, tambahan pula mangsa terlibat adalah anak perempuan kepada jiran saya yang berumur 11 tahun,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Katanya, tugas dilaksanakan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sebaiknya.

“Tugas SAR ini bukan satu perkara yang mudah, pelbagai cabaran dan kesukaran perlu dihadapi, namun harus ingat di belakang saya, ribuan harapan dari keluarga mangsa yang terlibat ini sentiasa menantikan agar ahli keluarga mereka berjaya ditemui.

“Saya sentiasa letakkan diri saya jika berhadapan situasi sama sebegini, andai ada ahli keluarga saya terlibat, saya juga mahukan mereka ditemui biarpun tidak lagi bernyawa,” katanya.

Menurutnya, biarpun keadaan fizikal yang agak mencabar namun itu bukan penghalang untuk memastikan operasi ini berjalan dengan lancar.

“Saya hadir bertugas di lokasi operasi seawal jam 3 pagi pada hari pertama SAR dijalankan bersama anggota penyelamat yang lain.

“Pergerakan di lokasi agak sukar memandangkan keadaan tanah bercampur selut dan pasir yang dikorek oleh jengkaut, menyebabkan badan boleh tertimbus hingga ke paras pinggang jika tidak berhati- hati,” katanya.

Pada jam 11.15 pagi, satu mayat lelaki dewasa ditemui di sektor B (farmview).

Ini menjadikan jumlah mangsa korban tanah runtuh yang berjaya ditemui adalah sebanyak 26 orang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu masih diteruskan lagi bagi mencari baki tujuh mangsa yang masih hilang.