[VIDEO] Tanah runtuh: Empat mayat ditemukan termasuk dua kanak-kanak

in Berita Semasa by

Mayat yang ditemukan pada hari ketujuh operasi SAR di tapak perkhemahan di Batang Kali pada Khamis.

BATANG KALI – Empat lagi mayat mangsa termasuk dua kanak-kanak ditemui di lokasi pencarian tragedi tanah runtuh tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting, di sini, pada Khamis.

Perkara itu disahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebook yang memaklumkan penemuan itu.

“Pagi ini para petugas SAR berjaya menemui empat lagi mayat yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm,” katanya pada Khamis.

Difahamkan, empat mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa serta dua kanak-kanak perempuan.

Penemuan mayat mangsa itu ditemukan pada jam 10.39 pagi.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada empat mangsa itu mempunyai pertalian keluarga atau sebaliknya.

Penemuan itu merekodkan angka korban tragedi terbabit kini seramai 30 orang dan tiga lagi masih hilang.

Satu sidang media berkenaan perkara itu akan dibuat oleh pihak bomba dan polis dalam masa terdekat.