222 penguat kuasa KPDN Kelantan pantau harga

in Edisi Kelantan by

Azman IsmailAzman (dua, kanan) melihat daging kambing biri-biri bertulang import yang dijual di Pasaraya Mydin, Tunjong, Kota Bharu.Azman (dua, kiri) memeriksa harga tomato yang dijual kepada pelanggan di Pasaraya Mydin, Tunjong, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menempatkan 222 penguat kuasa di lokasi tumpuan membeli-belah orang ramai bagi memantau harga sempena musim perayaan Krismas di negeri ini.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, usaha dilakukan bagi melindungi pengguna dan memastikan peniaga mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas tahun 2022.

Menurutnya, enam jenis barang diwartakan barangan harga terkawal di Kelantan bagi setiap sekilogram iaitu daging kambing biri-biri bertulang yang diimport ditetapkan harga borong RM33 dan runcit RM37.

**media[2033430]**

“Harga borong tomato sekilogram (RM4) dan runcit (RM5), lada benggala hijau borong (RM12) serta runcit (RM14).

“Kubis bulat borong sekilogram ditetapkan harga RM3 dan runcit RM4. Lobak merah RM3.50 (borong) dan RM4.50 (runcit) manakala ubi kentang import dari China ditetapkan RM3 (borong) serta RM4 (runcit),” katanya pada sidang akhbar selepas Walkabout Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas di Pasaraya Mydin di Tunjong pada Jumaat.

Beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi harga yang ditetapkan atau jika gagal boleh didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Menjual melebihi harga maksimum boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun RM50,000 bagi perseorangan.

“Bagi syarikat boleh didenda RM500,000 atau kompaun RM250,000 jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, KPDN Kelantan merekodkan 896 kes rampasan dengan nilai keseluruhan berjumlah hampir RM5.7 juta pada tahun ini sehingga 23 Disember.

**media[2033433]**

“Barangan yang dirampas antaranya minyak masak peket bersubsidi, gula, gandum dan kenderaan.

“Turut dirampas petrol dan diesel dengan nilai denda keseluruhan sebanyak RM203,300 serta kompaun berjumlah RM870,600,” katanya.

Azman menambah, penguatkuasaan juga dipertingkatkan dengan kerjasama agensi lain menerusi Op Bersepadu bagi mengekang pihak tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan menyeludup barangan ke negara jiran kerana Sungai Golok yang melimpah pada musim tengkujuh.