Akses komunikasi, internet di Kelantan, Terengganu terkawal

in Nasional by

Nie Ching (dua dari kiri) meninjau Pusat Kawalan Operasi Bencana APM Johor di Bandar Baru Uda, Johor Bahru pada Jumaat.

JOHOR BAHRU – Akses komunikasi dan rangkaian internet di Kelantan dan Terengganu yang kini dilanda banjir, masih dalam keadaan baik setakat ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, langkah siap sedia tetap diambil sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan akses komunikasi dan rangkaian internet di kedua-dua negeri tersebut.

“Setakat ini, kami tidak terima apa-apa laporan tentang gangguan akses komunikasi dan rangkaian internet di Terengganu dan Kelantan.

“Sekiranya ada laporan gangguan atau keperluan, sila hantar kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), kami akan teliti keperluan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor di Bandar Baru Uda di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah APM Johor, Kamal Mokhtar.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, perbincangan bersama pelbagai syarikat telekomunikasi sudah diadakan sebelum ini supaya amaran berhubung sebarang bencana alam dapat diterima rakyat dalam masa yang singkat.

Malah katanya, syarikat telekomunikasi juga sudah bersiap sedia menyediakan generator bergerak ke menara telekomunikasi sekiranya bekalan elektrik terputus akibat banjir.

“Generator bergerak yang disediakan syarikat komunikasi membolehkan menara komunikasi terus beroperasi, maka akses komunikasi dan internet di kawasan dilanda banjir tidak akan terganggu.

“Bagi pusat pemindahan sementara (PPS) yang padat, yang mana berkemungkinan berdepan isu talian komunikasi agak perlahan, kami sudah sediakan ‘selular mobile'”,katanya.

Sebelum itu, jumlah keseluruhan mangsa banjir di tujuh negeri mencatatkan penurunan kepada 50,861 orang melibatkan 14,635 keluarga setakat jam 6 pagi Jumaat berbanding 66,197 orang pada Khamis.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Terengganu merekodkan jumlah tertinggi seramai 25,895 mangsa diikuti Kelantan (24,690), Sarawak (104), Selangor (57), Johor dan Perak (46) serta Pahang (23).