ATV terbabas: Dua pesara maut sebab lemas, serangan jantung

in Berita Semasa by

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Mohammad Shofee

PONTIAN – Polis mengesahkan dua pesara kerajaan yang maut selepas kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) terbabas ke dalam parit di Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, di sini, petang Khamis masing-masing akibat lemas dan serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, mangsa Hasan Ayob, 66, yang juga pesara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) maut disebabkan serangan jantung, manakala Abd Rashid Abd Malek, 63, pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula lemas.

“Abd Rashid yang memandu ATV itu dipercayai telah gagal mengawal kenderaan yang ditunggangi lalu terjatuh ke dalam parit yang berair.

“Keadaan Abd Rashid tertindih di bawah ATV manakala pembonceng, Hasan Ayob dipercayai cuba membantu namun tetapi gagal untuk mengalihkan ATV tersebut akibat berat dan paras air parit di bahagian pinggang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohammad Shofee berkata, akibat kejadian tersebut Abd Rashid dipercayai mati lemas, manakala Hasan keletihan, sebelum kedua-duanya dirujuk ke Bahagian Forensik Hospital Pontian.

Ujarnya, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa mendapati punca kematian Abd Rashid disebabkan lemas manakala Hasan pula disebabkan serangan jantung.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan dua lelaki warga emas maut apabila ATV yang ditunggang mereka terbabas dalam parit di Jalan Kampung Seri Gambut di sini.