Banjir: Penduduk naik bot ke masjid solat Jumaat

in Edisi by

Masjid Ittihadi yang dibina sedekad lalu menjadi tumpuan jemaah tiga kampung.Muhamad SaidiPenduduk menaiki bot ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

TUMPAT – Jemaah Masjid Ittihadi, Kampung Kubang Sawa dari tiga kampung di Pengkalan Kubor di sini terpaksa menaiki bot untuk ke masjid itu bagi menunaikan solat Jumaat selepas kampung mereka ditenggelami air sejak Isnin minggu lalu.

Situasi itu bukanlah perkara baharu kerana ia boleh dilihat sejak masjid berkenaan dibina kira-kira sedekad lalu.

Imam Tua Masjid Ittihadi Mukim Kubang Sawa, Muhamad Saidi Yunus berkata, jemaah melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Kubang Sawa, Kampung Kuala Jambu dan Kampung Naga Ibu.

**media[2033198]**

Menurutnya, banjir sudah biasa dihadapi penduduk sejak 40 tahun lalu tetapi lebih teruk jika berlaku limpahan air Sungai Golok.

“Kami di sini turut terjejas dan di Pengkalan Kubor sahaja melibatkan kira-kira 30 kampung.

“Kali ini kampung kami terjejas teruk disebabkan ban Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kuala Teluk Kampung Lanchang Rantau Panjang pecah,” katanya ketika ditemui di masjid itu selepas solat Jumaat.

Tambah beliau, banjir selepas bulan Mac lalu menyebabkan pekarangan masjid yang boleh memuatkan lebih 200 jemaah dinaiki air.

**media[2033197]**

“Alhamdulillah kerana kami boleh menunaikan solat Jumaat Jumaat walaupun masjid sudah menjadi seolah-olah sebuah pulau,” katanya.

Sebelum itu, seramai 60 penduduk menaiki bot untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat.

Bagi penduduk Kampung Kubang Sawa, Mohd Nor Fitri Mohd Nor, 27, dia tetap menjalankan tanggungjawab walaupun terpaksa meredah banjir lebih 50 meter.

“Saya menaiki bot bersama tiga adik-beradik lain kerana air di kawasan rumah sudah mencecah lebih dua meter,” katanya.