Belia harap kemudahan pinjaman tanpa faedah untuk usahawan

in Edisi Perak by

Muhammad Naim

IPOH – Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Perak mengharapkan kerajaan negeri mengaktifkan semula pinjaman tanpa faedah kepada usahawan seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Pengerusinya, Muhammad Naim Al-Amin Saharudin berkata, perkara itu dilihat wajar untuk dilaksanakan bagi membolehkan golongan belia yang menceburi bidang keusahawanan mendapatkan modal perniagaan.

Jelas beliau, peruntukan sebanyak RM1.2 juta kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) untuk melaksanakan pelbagai program termasuk Geran Usahawan Negeri Perak (Gerak) disifatkan agak kecil berbanding jumlah usahawan aktif di negeri ini.

“Peruntukan Gerak terlalu kecil berbanding jumlah usahawan Perak yang aktif berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) iaitu mencecah 150,000 syarikat dengan 90 peratus daripadanya usahawan kecil.

“Kita berharap kerajaan negeri Perak menghidupkan semula pinjaman tanpa faedah yang pernah dilaksanakan dahulu kepada usahawan kecil di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Muhammad Naim mengalu-alukan usaha kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM400,000 untuk program pemerkasaan anak muda.

Menurutnya, menerusi peruntukan tersebut, golongan belia dapat merangka dan melaksanakan pelbagai program meliputi seluruh daerah.

“Peruntukan sebanyak RM400,000 masing-masing kepada Dewan Belia dan mahasiswa juga dapat menghasilkan belia yang berdaya saing dan mampu melahirkan ramai pemimpin serta cendekiawan.

“Ini sekali gus dapat membantu kerajaan sebagai pembuat dasar dan menjadi kumpulan semak dan imbang terhadap perubahan keadaan semasa negeri,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet Negeri Perak 2023 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Khamis, kerajaan negeri memperuntukkan RM21.6 juta bagi tujuan pembangunan modal insan dan belia.