FIFA siasat Salt Bae

in Sukan by

Salt Bae ketika bergambar bersama Messi yang dilihat kurang selesa dengan cara cef tersebut. – Foto Instagram nusr_et

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sedang menyiasat cef selebriti, Salt Bae apabila dia mendapat akses ke padang selepas perlawanan akhir Piala Dunia dan bergambar dengan pemain Argentina.

Salt Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce dilihat memegang dan mencium trofi itu selepas Argentina menewaskan Perancis pada perlawanan akhir di Qatar.

Usahawan Turki itu dikritik secara meluas kerana dua kali memegang lengan Lionel Messi yang dilihat tidak selesa dengan tindakan cef tersebut.

Dia turut bergambar bersama Angel di Maria, Lisandro Martinez malah dilihat menjulang pingat pemain lain.

Peraturan FIFA menyatakan trofi Piala Dunia hanya boleh dipegang oleh pemenang kejohanan dan orang-orang seperti pegawai dan ketua negara FIFA.

“Selepas melihat perkara berkenaan, FIFA akan menilai situasi berkenaan dan bagaimana cara individu itu mendapat akses yang tidak sepatutnya ke padang di Stadium Lusail itu.

“Tindakan dalaman yang sewajarnya akan diambil,” kata seorang jurucakap FIFA.

Salt Bae, 39, memiliki rangkaian restoran mewah di seluruh dunia termasuk Beverly Hills di Los Angeles dan Knightsbridge London.