Harimau Malaya buru kemenangan besar

in Sukan by

Kim Pan-gon – Foto FB FAM

HARIMAU Malaya mahu memburu kemenangan besar ketika menentang Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, Malaysia perlu mengejar perbezaan jaringan yang dimiliki Vietnam sekiranya mahu menjuarai saingan peringkat kumpulan.

“Sasaran kami jika ingin berada di kedudukan teratas, kami perlu kejar perbezaan jaringan. Kami tahu Vietnam menang besar ke atas Laos dengan enam gol.

“Kami pula hanya ada satu gol, namun kami tetap tidak memandang rendah Laos kerana selepas kekalahan besar, sudah tentu mereka akan bangkit dengan lebih kuat terutama di laman lawan,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Dalam aksi pembukaan Piala AFF, Malaysia menang tipis ke atas Myanmar 1-0 dalam aksi di Stadium Thuwunna, Yangon pada Rabu manakala, Vietnam menang besar ke atas Laos 6-0 untuk meletakkan pasukan itu di kedudukan teratas Kumpulan B.

Pan-gon turut mengharapkan para pemainnya sentiasa berhati-hati dengan corak permainan Laos sekiranya mahu meraih jaringan besar dan tiga mata di laman keramat Harimau Malaya.

“Pasukan teknikal akan menilai kekuatan dan kelemahan pasukan Laos. Jika kami hadir dengan permainan kurang bermaya, ia akan menjadi sukar buat kami.

“Mereka sudah tentu akan kurang menyerang sebaliknya tidak mahu bolos dan kurang beri ruang kepada skuad negara menjaringkan gol.

“Kami perlu berada di tahap kualiti yang tinggi, lebih tepat dan fokus dalam perlawanan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan beberapa pemain yang cedera termasuk tonggak pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee telah dihantar ke hospital untuk memeriksa tahap kecederaan mereka.

“Kami masih menunggu laporan pemeriksaan dan saya harap tiada masalah yang serius dialami pemain,” katanya.