Laos hadapi krisis kecederaan pemain

in Sukan by

Weiss

PENGENDALI Laos, Michael Weiss seolah-olah buntu untuk menghadapi tentangan skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu selepas pasukan itu menghadapi masalah kecederaan pemain yang serius.

Menurut Weiss, dia juga masih belum memikirkan taktikal yang akan digunakan pada perlawanan tersebut dan hanya akan berbuat demikian selepas melihat keadaan keseluruhan pemain terlebih dahulu.

“Kami tewas besar kepada pasukan pilihan Vietnam dan kini ramai pemain yang cedera.

“Kami melakukan persiapan rapi dalam kejohanan ini. Untuk tewas besar (kepada Vietnam) ia jelas bukan apa yang kami mahukan. Namun, motivasi kami tetap tinggi untuk menghadapi perlawanan ini.

“Tetapi, pendekatan bagaimana untuk kami turun dalam perlawanan masih belum diputuskan. Saya akan mengkaji perlawanan antara Malaysia dan Myanmar dahulu dan melihat dalam sesi latihan untuk melihat siapa yang boleh diturunkan,” katanya ketika sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Dalam pada itu, Weiss turut melihat pasukan Harimau Malaya berada di tahap berbeza selain mempunyai kualiti sebagai pencabar utama dalam Piala AFF kali ini.

“Malaysia masih boleh membentuk sebuah pasukan yang kuat walaupun kehilangan ramai pemain JDT. Saya mengikuti rapat pasukan Malaysia dalam tempoh 10 tahun dan Malaysia semakin bagus dalam segala aspek,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah Laos, Phithack Kongmathilath menyifatkan perlawanan menentang Harimau Malaya itu sebagai perlawanan penting untuk Laos selepas tewas aksi pembukaan kepada Vietnam.

“Kami sedia untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan esok,” katanya.