Lelaki pakai telekung curi beg jemaah

in Berita Semasa by

Rakaman CCTV menunjukkan suspek memakai telekung warna putih masuk ke ruangan jemaah wanita untuk mengambil barang berharga.

SHAH ALAM – Seorang lelaki ditahan polis selepas kegiatannya menyamar dengan memakai telekung sebelum masuk ke ruangan solat wanita dan melarikan barang berharga milik jemaah terbongkar di Seksyen 18 di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima dua laporan kecurian di dalam masjid di Seksyen 18, Shah Alam pada Selasa.

Menurutnya, laporan pertama dibuat oleh seorang wanita berusia 60 tahun yang kerugian RM2,000 selepas beg miliknya yang mengandungi kunci rumah, kunci stor masjid dan telefon bimbit telah hilang ketika menunaikan solat Subuh.

“Dalam kejadian di masjid berlainan di Seksyen 18, laporan kedua oleh seorang wanita berusia 58 tahun pula menyatakan begnya yang mengandungi sebuah telefon bimbit telah hilang.

“Kejadian itu disedari mangsa selepas selesai menunaikan solat Isyak di masjid berlainan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dua lokasi kejadian mendapati suspek seorang lelaki tempatan yang berseluar jeans menggunakan modus operandi memakai telekung warna putih masuk ke ruangan jemaah wanita seterusnya mengambil barang berharga milik jemaah yang sedang solat.

Tegasnya, bertindak hasil maklumat, suspek berusia lingkungan 20-an ditahan di sekitar Seksyen 18, Shah Alam pada Jumaat pada jam 12.05 tengah malam.

“Polis telah merampas dua telefon bimbit yang dicuri dalam kejadian itu,” katanya.

Tambah beliau, suspek yang memiliki satu rekod lampau kes dadah dan empat kes jenayah telah direman empat hari sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kejadian itu juga dilaporkan tular menerusi rakaman video berdurasi 43 saat.