Maritim Kuala Kedah rampas 107 set bubu naga

in Edisi Utara by

Anggota Zon Maritim Kuala Kedah merampas bubu naga yang dipasang di sekitar perairan Yan pada Khamis.Antara bubu naga yang dirampas dan dibawa pulang ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 107 set bubu kambang atau bubu naga dalam operasi khas yang dijalankan di empat lokasi sepanjang perairan Yan pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi khas membanteras bubu naga itu dilaksanakan berikutan terdapat aduan yang diterima pihak Maritim Malaysia.

Katanya, empat lokasi rampasan bubu naga terbabit adalah di sekitar 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika merangkumi sekitar Kuala Sedaka sehingga ke perairan Kuala Sala.

“Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia menemui pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan.

“Ia dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

**media[2032670]**

Menurutnya, kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai RM12,840 itu dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

“Penggunaan bubu naga ini perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat oleh jabatan berkaitan kerana ia dijual dengan harga yang murah.

“Ini sekali gus tidak akan memberi kesan ke atas rampasan-rampasan yang dibuat memandangkan penggunanya masih boleh membeli semula di pasaran semasa,” katanya.

Noor Azreyanti menambah, nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

“Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram di laut,” katanya.