'Misi balas budi'

in Edisi by

Antara barangan yang berjaya dikumpulkan MySinar untuk mangsa banjir di Pantai Timur.

SHAH ALAM – Kejadian banjir di negeri-negeri Pantai Timur mendapat perhatian Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) yang mengambil inisiatif mengumpulkan dana bagi menyediakan barangan keperluan asas untuk disumbangkan kepada mangsa terjejas di kawasan terpencil.

Penasihat MySinar, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, pihaknya telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM5,740 dalam tempoh 48 jam melalui pelbagai saluran di media sosial.

Menurutnya, kesemua barangan tersebut dikumpulkan di Kumpulan Karangkraf di sini sebelum ia dihantar kepada mangsa banjir di tiga lokasi iaitu Rantau Panjang, Pasir Putih dan Hulu Besut.

“Alhamdulillah kami berjaya mengumpul dana untuk membeli sejumlah barangan keperluan termasuk bahan makanan seperti beras, roti dan sebagainya selain lampin kanak-kanak kepada mangsa banjir yang terjejas di Pantai Timur. Esok (Jumaat) kami akan bergerak ke sana bersama 30 orang sukarelawan.

“Tidak dinafikan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan misi bantuan banjir namun, fokus utama kami adalah memberi tumpuan di tempat-tempat terpencil agar lebih ramai mangsa banjir dapat dibantu,” katanya pada Khamis.

Tambah Muhammad Nasir, bantuan itu juga merupakan salah satu misi balas budi kepada rakyat Kelantan dan Terengganu.

“Ketika Selangor dilanda banjir mereka segera menghantar bantuan kepada masyarakat di sini. Kali ini kami sasarkan 300 orang mangsa banjir dibantu.

“Kami juga jalin kerjasama dengan NGO di negeri berkenaan bagi memudahkan urusan kenal pasti mangsa yang terlibat,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan, MySinar masih lagi memerlukan sumbangan daripada orang ramai.

“Sumbangan boleh dibuat melalui Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) di akaun Maybank 5622 1823 3147. Rujukan Misi Banjir 2022.

“Sebarang pertanyaan hubungi penyelaras bantuan banjir di talian 011-10297273 (Rosdi Md Hasan) atau 011-10118384 (Mohd Sanusi),” katanya.