Nahas lima kenderaan, trafik sesak 21.2 kilometer

in Berita Semasa by

Keadaan salah sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dekat Bentong pada Jumaat.

KUANTAN – [DIKEMAS KINI] Laluan di Kilometer 42.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dekat Bentong terhalang sementara susulan kemalangan melibatkan lima kenderaan di lokasi itu (arah timur) pada Jumaat.

Pihak konsesi lebuh raya itu, Anih Berhad memaklumkan, kemalangan dilaporkan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu menyebabkan trafik sesak sepanjang 21.2 kilometer dari Kilometer (KM) 21.7 sehingga ke lokasi kemalangan.

“Trafik juga sesak kira-kira 10.4 kilometer dari KM53.4 sehingga lokasi kemalangan.

“Turut sesak dari KM21.3 hingga Plaza Tol Gombak berikutan pertambahan kenderaan,” ujarnya.

Berdasarkan perkembangan kira-kira jam 3 petang, lorong kanan dan kiri telah dibuka kepada lalul lintas manakala lorong kecemasan masih ditutup.

Beliau menjelaskan, kerja-kerja pembersihan di lokasi itu dijangka siap sebelum jam 6 petang ini.

“Kerjasama pengguna dalam merancang perjalanan amat dihargai.

“Sila pandu dengan berhati-hati dan patuhi arahan petugas di lokasi,” jelasnya.

Sementara itu, pihak bomba memaklumkan, kemalangan itu melibatkan dua lori, dua kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, dalam kemalangan itu, dua mangsa lelaki dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, susulan maklumat diterima berhubung kejadian, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong ke lokasi untuk bantuan.

“Anggota memulakan operasi dengan memberi rawatan awal kepada mangsa terlibat sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut,” katanya.