Piala AFF: Laos tetap bahaya

in Sukan by

Brendan Gan – Foto FAM

HARIMAU Malaya tidak boleh memandang rendah keupayaan Laos apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi kedua Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Kapten skuad kebangsaan, Brendan Gan berkata, walaupun skuad Million Elephants itu dibelasah Vietnam pada perlawanan pembukaan, namun ia bukan jaminan Harimau Malaya mampu menang mudah ke atas pasukan tersebut.

“Saya dan rakan sepasukan sudah melihat perlawanan di antara Laos dan Vietnam. Mereka (Laos) mempunyai struktur dan sistem permainan yang agak baik.

“Kami perlu mencari cara untuk menembusi permainan mereka dan menghasilkan ruang untuk menjaringkan gol. Namun, seperti yang jurulatih katakan, kami perlu hormati mereka dan tiada lawan mudah dalam saingan Piala AFF ini,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Dalam pada itu, dia menyifatkan motivasi pemain berada pada tahap yang terbaik walaupun beberapa pemain mengalami kecederaan selepas aksi bertemu Myanmar Rabu lalu.

Malah, Brendan juga tidak kisah sekiranya pengendali skuad negara, Kim Pan-gon mahu meletakkannya di posisi pertahanan sekiranya perlu menggantikan pemain yang cedera itu.

“Jika jurulatih minta saya jadi penjaga gol, saya akan jadi penjaga gol. Saya dan pemain lain boleh bermain di mana-mana posisi kerana barisan kejurulatihan tahu kelemahan dan kekuatan setiap pemain.

“Kami ada pasukan yang bagus. Kami ada 23 pemain dan bukan hanya 11 pemain dalam pasukan. Sekiranya salah seorang pemain tidak dapat beraksi, akan ada pemain lain yang boleh menggantikan. itu sesuatu yang bagus dalam pasukan ini,” katanya.