Pindah kawal selia tidak beri kesan pada Kerajaan Persekutuan

in Nasional by

Steven Sim

SHAH ALAM – Keputusan memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas Sabah kepada negeri tersebut tidak memberi kesan kepada pendapatan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim berkata, isu hasil Kerajaan Persekutuan tidak berbangkit dalam hal tersebut berikutan ia melibatkan kuasa kawal selia dan bukannya hasil pendapatan.

Ujar beliau, dasar tersebut sebaliknya bakal memberi manfaat dari segi kawalan ke atas sumber asli negeri kepada Sabah.

“Isu hasil kerajaan persekutuan tidak berbangkit dalam hal ini kerana perkara ini melibatkan kuasa kawal selia dan bukan hasil pendapatan.

“Tapi dasar baru ini bakal memberikan kesan positif kepada Sabah kerana kerajaan negeri akan mempunyai kawalan ke atas sumber asli negeri yang sebelum ini tidak ada.

“Dalam hal ini, tujuan Kerajaan Persekutuan ialah memberikan had dan kuasa kepada Kerajaan Sabah selaras dengan komitmen PM memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di kawasan Sabah kepada Kerajaan Negeri berkenaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata,hal seumpama itu pernah terjadi kepada Sarawak, dan tarikh pemindahan kuasa kawal selia kepada Sabah itu akan diputuskan berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.