Rumah Sahabat terjejas banjir kini kembali beroperasi

in Edisi by

Hashim (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Ketua Pegawai Pengurusan dan Pentadbiran Rumah Sahabat, Mohd Asyraf Amri (dua dari kiri) pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan RM200,000 di Rumah Sahabat, Hulu Langat di sini pada Jumaat.

SHAH ALAM – Rumah Sahabat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terjejas akibat banjir pada Disember tahun lalu kini kembali beroperasi semula selepas menerima peruntukan baik pulih sebanyak RM200,000.

Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon berkata, Rumah Sahabat merupakan salah satu rumah pemulihan riqab MAIS yang terjejas teruk dalam kejadian banjir hingga mengakibatkan beberapa bahagian bangunan runtuh.

“Bantuan sumbangan MAIS yang diluluskan menerusi peruntukkan zakat asnaf riqab itu telah baik pulih semula bilik detox, dapur, dewan makan dan asrama yang terjejas banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Bantuan RM200,000 di Rumah Sahabat, Hulu Langat di sini pada Jumaat.

Ujar beliau, usaha membantu asnaf riqab menjadi sebahagian daripada tanggungjawab MAIS.

Sehubungan itu, katanya, kejadian banjir buruk yang menjejaskan bangunan Rumah Sahabat perlu dibantu agar mereka dapat beroperasi seperti sedia kala.

“Pemulihan Rumah Sahabat ini diharap dapat membantu MAIS dalam usaha pemulihan pelatih dalam kalangan asnaf Riqab,” kata beliau.