'Tidak benar kerajaan tidak boleh dikritik'

in Nasional by

Nie Ching (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Pertahanan Awam Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya (PA) Kamal Mokhtar (kiri) ketika melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana di pejabat APM hari ini. – Foto Bernama

JOHOR BAHRU – Tanggapan berhubung barisan kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh menerima sebarang kritikan adalah tidak benar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, perkara itu tidak pernah berlaku termasuk dakwaan kononnya sesiapa yang bertindak mengkritik kerajaan akan menerima tindakan termasuk akaun media sosial disekat.

“Saya tak tahu mengapa anggapan seperti ini (kerajaan tidak boleh dikritik) wujud kerana ia memang tak betul.

“Seperti Perdana Menteri nyatakan sebelum ini, beliau alu-alukan kritikan membina. Beliau tidak pernah cakap tidak boleh kutuk dirinya, menteri mahupun timbalan menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor di Bandar Baru Uda, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah APM Johor, Kamal Mokhtar.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menegaskan, keharmonian dalam masyarakat perlu dijaga bagi mengelakkan kebencian.

“Apa yang kita nak tegaskan di sini adalah bahawa kerajaan tak mahu sebarang kata-kata kebencian kerana nak jaga sentimen keharmonian masyarakat.

“Kerajaan tak mahu apa-apa kenyataan yang melanggar undang-undang khasnya babitkan ‘3R – Race, Religion & Royalty’ (Kaum, Agama dan Raja-Raja). Itu juga adalah pesanan Perdana Menteri supaya tiada pihak mainkan isu 3R,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, tiada mana-mana pengguna media sosial setakat ini yang diheret ke mahkamah kerana mengkritik Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Tetapi jika ada mana-mana pengguna media sosial yang sebar informasi palsu, memang kerajaan serta agensi terbabit akan mengambil tindakan tegas dan segera kerana kita tidak mahu ia bahayakan negara,” katanya.