Tiga beranak menumpang tinggal di stor kebun

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Hasan (dua dari kiri) bersama isteri dan anaknya yang menumpang teduh di sebuah stor kebun di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah pada Jumaat.

ALOR GAJAH – Tiga beranak di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini terpaksa meneruskan kehidupan dengan menumpang di sebuah stor kebun sejak lebih sebulan lalu.

Hasan Dahlan, 55, bersama isterinya, Rosminah Hasdawi, 54, serta anak bongsu berusia 18 tahun mendiami stor berkenaan selepas pemilik kebun itu bermurah hati memberi kebenaran setelah mereka terpaksa keluar dari rumah sewa kerana gagal menjelaskan bayaran bulanan.

Hasan yang menghidap buah pinggang kronik sejak Julai tahun lalu terpaksa menjalani dialisis setiap hari dan menyukarkannya untuk melakukan kerja-kerja berat seperti sebelum ini.

Menurut Hasan, dia dipilih sebagai sukarelawan masjid untuk melakukan kerja-kerja pembersihan bagaimanapun bayaran bergantung kepada pihak berkenaan.

“Disebabkan saya berstatus penduduk tetap, saya terpaksa melakukan sendiri dialisis di rumah kerana tidak mampu ke mana-mana pusat dialisis dan segala kelengkapan dialisis terpaksa dibeli sendiri.

“Setakat ini, makan minum kami tiga beranak bergantung kepada ihsan penduduk setempat yang prihatin dengan nasib kami yang sering berpindah randah,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Hameed Myhtheen Basheer di Paya Rumput di sini pada Jumaat.

Hasan berkata, anak bongsunya, Norsofiah juga berstatus orang kurang upaya (OKU) dan sering diserang sawan.

“Disebabkan penyakit ini, Norsofiah tidak dapat bersekolah,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Sementara itu, Hameed Myhtheen berkata, sebelum ini pihaknya telah membantu mendapatkan kad OKU untuk Norsofiah bagi membolehkan dia berdaftar di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berdekatan.

“Malah permohonan bantuan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah diluluskan dan akan disalurkan kepada Norsofiah bermula Januari depan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan melihat keperluan lain dan melihat status permohonan kewarganegaraan Hasan serta isterinya.