Tiga ditahan curi, ceroboh rumah kerabat diraja Johor

in Berita Semasa by

JOHOR BAHRU – Dua remaja antara tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian mencuri dan menceroboh kediaman milik kerabat diraja Johor, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ketiga-tiga mereka yang berusia 16, 19 dan 47 tahun itu ditahan pada 11.40 pagi di lokasi kejadian susulan laporan mengenainya dibuat pada 10 pagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua individu berjaya melarikan diri dan polis sedang berusaha mengesan mereka.

“Polis turut merampas dua kereta, satu unit mesin gergaji, empat helai sarung tangan kain, tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu kunci kereta dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM150.

“Hasil semakan dan saringan air kencing terhadap ketiga-tiga individu itu mendapati mereka tiada rekod jenayah selain negatif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum enam bulan dan denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya. – Bernama