40,000 liter diesel, petrol percuma untuk anggota penyelamat

in Nasional by

Kenderaan ROVR yang disediakan Petronas bagi mengisi diesel kepada anggota penyelamat mangsa banjir.Lokasi pengisian minyak ialah di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

KOTA BHARU – Petronas melalui Petronas Dagangan Bhd menyumbang 30,000 liter diesel dan 10,000 liter petrol untuk petugas penyelamat dan aktiviti pembersihan pasca banjir.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih itu dilaksanakan melalui kenderaan minyak bergerak (ROVR).

Menurut beliau, lokasi pengisian minyak ialah di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor.

“Ia sebagai usaha membantu operasi menyelamat yang dijalankan oleh pihak berkuasa dan diharap mampu membantu melancarkan usaha menyelamat.

‚ÄúSumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Petronas membantu mangsa banjir bernilai RM25 juta yang diumumkan pada Disember tahun lalu,” katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

**media[2034506]**

Tambah M Ahmad Shazly, bantuan melibatkan sumbangan terdahulu kepada agensi penyelamat banjir di seluruh negara.

“Antara bantuan itu ialah 36 bot, 8,800 khemah, 5,500 unit jaket keselamatan dan 55,000 baju hujan.

“Kita turut membantu penduduk di kawasan berisiko tinggi di Pekan, Pahang dan Tumpat, Kelantan melakukan persiapan yang lebih sistematik menghadapi banjir melalui Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) awal 2022,” katanya.

Selain itu katanya, melalui Program Sentuhan Kasih Disaster Relief (SKDR) 2022, Yayasan Petronas meneruskan bantuan kepada mangsa banjir pantai timur melalui sumbangan tambahan kepada 2,250 keluarga.

Menurutnya, sumbangan berupa kelengkapan asas seperti selimut, tuala mandi dan peralatan mandian diberikan kepada mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).