Bahan mentah baja pertanian naik hampir 400 peratus

in Edisi Utara by

Aimi (kanan) menyantuni anak-anak arwah Amirul Fariz di Yan pada petang Jumaat.Aimi (empat dari kanan) menyerahkan faedah persaraan (kematian) kepada isteri arwah Amirul Fariz, Faziha Hamid di Yan pada petang Jumaat.

GURUN – Kenaikan harga beberapa bahan mentah dalam menghasilkan baja pertanian berkualiti yang mencecah 100 hingga 400 peratus antara cabaran utama dihadapi oleh pengeluar baja, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB).

Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Aimi Jusoh berkata, walaubagaimanapun kenaikan kos itu tetap diserap oleh pihaknya dalam memastikan kelangsungan bekalan baja yang berkualiti mencukupi untuk diagihkan kepada pesawah di seluruh negara.

Menurutnya, perkara itu menyebabkan usahasama syarikat dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) itu beroperasi dalam kerugian.

“Saya (mahu) menarik perhatian bahawa kenaikan bahan mentah untuk membuat baja seperti NOP, DAP, CRP, dan lain-lain bahan meningkat antara 100 hingga 400 peratus.

“Sangat kritikal kenaikan yang menyebabkan nafas dan MNFSB juga terpaksa beroperasi di dalam aras kerugian telah mencecah nilai RM1 bilion yang kami telah serap dan kami tanggung.

“Jadi untuk kelangsungan kepada bekalan baja yang mencukupi dan berkualiti, kami sekarang sedang bertungkus-lumus menyediakan baja yang mencukupi kepada seluruh pesawah dan petani kami dengan sasarannya tanpa kegagalan,” katanya semasa ditemui pemberita pada petang Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyerahkan faedah persaraan (kematian) kepada dua waris kakitangan MNFSB yang meninggal dunia di Kampung Sungai Bongkok, dekat sini dan di Yan.

**media[2034266]**

Juruteknik proses, Allahyraham Amirul Fariz Mohd Zabidi, 37, meninggal dunia dalam kemalangan selepas pulang dari bertugas pada 26 Januari manakala juruteknik lapangan, Allahyarham Shukri Hussain pula meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 10 Mac lalu.

Waris Amirul Fariz menerima faedah sebanyak RM44,729.50 atas 14 tahun perkhidmatan dan waris Shukri pula menerima faedah RM50,680.50 atas 18 tahun perkhidmatannya

Aimi yang juga Ahli Jemaah Pengarah Nafas berkata, bagi musim kedua tanaman padi 2022, sebanyak 99 peratus baja berjaya diagihkan ke seluruh negara melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK).

Ujarnya, MNFSB dan Nafas mengharapkan kerajaan dapat terus membantu kedua-dua entiti ini bagi memastikan usaha membantu pesawah dan peladang di seluruh negara dapat diteruskan bagi menjamin kestabilan makanan negara.

“Beberapa siri perbincangan telah dibuat dengan pihak-pihak tertentu dan kerajaan di kementerian serta sebagainya untuk sama-sama membantu Nafas dalam memberikan bantuan kepada petani di seluruh tanah air,” jelas beliau.