Chile ratifikasi CPTPP, peluang besar perniagaan Malaysia

in Nasional by

Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Langkah Chile untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) membuka peluang besar untuk perniagaan Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa untuk Chile, sebuah negara di bahagian barat Amerika Selatan pada 21 Februari 2023.

“Chile telah meratifikasi CPTPP. Perjanjian itu akan berkuat kuasa untuk Chile pada 21 Februari 2023.

“Satu peluang besar bagi perniagaan Malaysia untuk mengambil kesempatan daripada kadar duti keutamaan ke atas barangan yang dieksport ke dan diimport dari Chile,” katanya dalam ciapan di laman Twitter pada Sabtu.

CPTPP ialah pakatan perdagangan antara Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian perdagangan itu berkuat kuasa untuk Malaysia pada 29 November 2022 dan skop komprehensifnya termasuk kawasan akses pasaran tradisional serta faktor seperti tenaga kerja, alam sekitar, perusahaan milik kerajaan, pemerolehan kerajaan, harta intelek, perdagangan elektronik dan perusahaan kecil dan sederhana. – Bernama