Dua maut langgar lori rosak tepi jalan

in Berita Semasa by

Tayar lori berkenaan pecah di bahagian belakang kanan. – Foto PDRM

SEREMBAN – Dua lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai melanggar bahagian belakang kanan sebuah lori di Kilometer 279.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara pada Jumaat.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Yusoff berkata, kejadian pada jam 11.30 malam itu melibatkan sebuah lori dan sebuah motosikal.

“Ia dipercayai berlaku apabila lori yang pandu seorang lelaki berumur 60-an dari Senawang menuju ke Puchong mengalami kerosakan tayar di bahagian kanan belakang.

“Lori itu kemudiannya diparkir di lorong kecemasan dengan memasang tanda amaran segi tiga,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, ketika berada di lorong tersebut sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua lelaki berumur 18 tahun telah melanggar bahagian belakang kanan lori tersebut.

“Akibat kemalangan, penunggang dan pemboncengnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan dan pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Siti Syarah di talian 014-5144741 bagi membantu siasatan,” katanya.