Guna data JPJ beri subsidi petrol RON95 – Salahuddin

in Nasional by

Salahuddin (kiri) meninjau keadaan lif di PPR Melana Indah pada Sabtu.

JOHOR BAHRU – Pangkalan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikenal pasti sebagai salah satu elemen dalam pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara tersebut merupakan hasil mesyuarat yang diperincikan antara kementeriannya bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi pada Jumaat.

Jelasnya, pangkalan data JPJ akan digunakan untuk subsidi petrol RON95 kerana kerajaan boleh mengenal pasti kuasa kuda kereta.

“Dari segi data (mekanisme subsidi bersasar) sudah hampir lengkap untuk dikemukakan semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebenarnya kertas kerja mengenai mekanisme subsidi bersasar sudah dibentang ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, 13 Disember lalu, namun beberapa perincian masih diteliti malah KPDN juga perlukan masa untuk laksanakannya,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas meninjau aduan lif rosak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah pada Sabtu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, mekanisme atau kaedah khas pemberian subsidi tersebut akan diteliti terlebih dahulu termasuk penggunaan dokumen peribadi iaitu kad pengenalan.

“Mekanisme itu kita akan bincang kemudian. Sekarang zaman digital, macam-macam kaedah moden kita boleh gunakan tetapi perlulah berkesan.

“Sekiranya ditanya pada KPDN bila pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar ini dapat dilaksanakan, ia sebenarnya terpulang kepada kabinet bagi membuat keputusan tarikh sebenar pelaksanaannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDN sebagai sekretariat NACCOL yang turut dianggotai 11 kementerian sudah bersiap sedia dengan kertas cadangan yang ada untuk dinilai semula kabinet.

“Kertas cadangan pelaksanaan subsidi bersasar sudah hampir siap sepenuhnya malah sebelum ini sudah dibentang. Kita hanya tunggu keputusan Kabinet,” katanya.