KPM sedia RM50 juta baiki sekolah rosak akibat banjir

in Nasional by

Fadhlina ketika sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal hari ini. – Foto Bernama

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan peruntukan penyelenggaran sebanyak RM50 juta bagi membaiki dan membaik pulih sekolah-sekolah yang terjejas serta rosak akibat banjir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung kerosakan sekolah-sekolah yang terlibat.

“KPM memang ada peruntukan penyelenggaran untuk sekolah terjejas dan terkesan akibat banjir khususnya di Terengganu serta Kelantan, setakat ini saya dimaklumkan sebanyak 287 buah sekolah dilanda banjir di seluruh negara, namun masih tunggu jumlah (sekolah) yang rosak.

“Saya telah minta pihak Jabatan Pendidikan negeri dan PPD untuk menyediakan laporan lengkap berhubung sekolah yang rosak dan terjejas, selepas itu kami akan salurkan peruntukan tersebut bagi membaikinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas hadir di Majlis Hari Bersama Rakyat Nibong Tebal, di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal, di sini.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM akan berbincang dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berhubung sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mencari alternatif sama ada terdapat keperluan untuk menangguhkan sesi persekolahan membabitkan kawasan yang masih dilanda banjir.

Katanya, sesi persekolahan bagi negeri atau kawasan yang tidak terjejas dalam banjir akan diteruskan seperti dijadualkan, iaitu pada 2 Januari di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu, manakala 3 Januari bagi negeri lain.

“Kebajikan dan keselamatan guru, murid serta warga sekolah adalah keutamaan KPM, bagi negeri yang tidak melibatkan bencana akan mengikut jadual asal manakala bagi negeri terjejas banjir dan PPS (sekolah-sekolah) masih belum menunjukkan penurunan sebelum 3 Januari nanti kami (KPM) akan bincang dengan Nadma bagi penangguhan pembukaan sekolah serta tujuan pelan alternatif.

“Sehingga kini sebanyak 241 buah sekolah masih dijadikan PPS di seluruh negara kerana bencana banjir dan kita di KPM juga ada bilik gerakan khas yang memantau dan membuat tinjuan setiap hari berhubung isu-isu banjir membabitkan PPS, murid serta guru-guru,” katanya. – Bernama