Martinez perlu fokus EPL selepas menang Piala Dunia

in Sukan by

Martinez membantu Argentina memenangi Piala Dunia perlu kembali fokus kepada United menjelang saingan EPL minggu depan. Foto Agensi.

KELAB Manchester United mahu pemain pertahanan, Lisandro Martinez bersedia memberikan impak apabila pulang ke Old Trafford selepas memenangi Piala Dunia bersama Argentina.

Pengurusnya, Erik ten Hag mengakui pemain itu perlu menikmati kemuncak kejayaan tersebut dalam kariernya.

Bagaimanapun katanya, menjadi keperluan buat semua pemain The Red Devils kembali memberikan fokus sepenuhnya kepada kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan bersambung minggu depan.

“Saya faham emosinya amat besar apabila anda mencapai kejayaan besar. Anda memenangi Piala Dunia untuk negara, ia sesuatu yang luar biasa dan kejayaan tertinggi yang anda capai.

“Namun Licha (Martinez) perlu menerima 26 Ogos EPL akan bersambung,” katanya.

Martinez beraksi dalam lima daripada tujuh perlawanan ketika Argentina bergelar juara dunia buat kali ketiga di Qatar baru-baru ini.

Kejayaan Argentina diakhiri dengan penentuan sepakan penalti 4-2 selepas terikat 3-3 dengan Perancis dalam masa tambahan.

Kejayaan itu juga mencetus sambutan luar biasa di negara mereka dan acara perayaan di Buenos Aires terpaksa dihentikan kerana terlalu ramai penyokong menahan bas pasukan.

Ten Hag percaya keraian itu akan berterusan untuk beberapa hari lagi, namun tirai EPL akan dibuka segera.

“Kita tahu ia akan diteruskan berselang lima atau enam hari selepas final Piala Dunia. Kita juga sedar bahawa selepas Piala Dunia, EPL akan segera diteruskan.

“Kesemua pemain perlu bersedia dan anda perlu menerimanya, bukan hanya pengurus dan barisan kejurulatihan tetapi pemain.

“Kami mahukan satu pasukan yang kuat untuk merebut trofi. Kita bercakap mengenai satu kejohanan yang sukar, jadi kami perlu bersedia dan ia bukannya mudah,” ujar ten Hag.

Selepas menewaskan Burnley 2-0 untuk mara ke suku akhir Piala EFL kelmarin, United akan kembali ke saingan EPL dengan melayani kunjungan Nottingham Forest pada awal pagi Rabu.