Menteri Besar mohon maaf, gangguan air malam Krismas

in Edisi by

Langkah mengurangkan kesan pencemaran di Sungai Semenyih.Ujian sampel air dilakukan secara kerap bagi mengukur kualiti air di lokasi terjejas.

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf susulan gangguan air di 470 kawasan di negeri itu berlaku pada malam sebelum Krismas.

Amirudin berkata, perkara itu dikesali biarpun kemalangan berlaku di luar negeri Selangor, namun memberi kesan kepada rakyat negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya telah berhubung dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta akan berusaha sedaya upaya memulihkan bekalan air secepat mungkin bagi kemudahan semua rakyat.

**media[2034691]**

“Pada jam 2 pagi Sabtu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas manakala LRA Sungai Tampoi turut mengalami nasib sama pada jam 6 pagi akibat tumpahan pati minyak wangi di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

“Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan beberapa langkah serta-merta bagi menangani pencemaran.

“Ia termasuk meletakkan tiga oil boom dan satu kotak oil pad di sekeliling kawasan pencemaran bagi pencegahan awal selain meletakkan 12 beg karbon aktif bagi mengurangkan kesan pencemaran.

“Tindakan menyedut sisa cecair berkenaan oleh kontraktor yang dilantik LUAS dan juga bantuan dua lori tanker sedut milik pihak Indah Water Konsortium (IWK) turut dilakukan,” ujarnya.

Tambah beliau, air dari Empangan Sungai Semenyih turut dilepaskan pada kadar 360 juta liter sehari (JLH) bagi tujuan meningkatkan kadar pencairan di sungai tersebut bagi mengurangkan kesan bau pencemaran.

Selain itu katanya, Air Selangor juga sedang menggerakkan 85 buah lori tangki air ke kawasan yang terkesan serta turut mengerakkan tangki statik bagi membantu meringankan beban pengguna.

Pada Sabtu, Air Selangor memaklumkan 470 kawasan di lima daerah iaitu sebanyak 472 kawasan di lima daerah di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi tadi.

Gangguan air itu susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.