MHC harap KBS tambah peruntukan arena hoki

in Sukan by

Subahan pada majlis menghargai skuad Piala Sultan Azlan Shah dan skuad Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita di Bukit Jalil pada Sabtu, Foto FB MHC.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan diharap dapat memberikan lebih perhatian dan peruntukan buat hoki selepas arena sukan itu mencatatkan aksi cemerlang sepanjang tahun 2022.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, peruntukan itu bagi menyediakan kemudahan terbaik daripada segi sains sukan serta peralatan.

Menurutnya, dana tersebut juga boleh digunakan untuk memperbanyakkan pertandingan antarabangsa sekali gus mampu meningkatkan mutu skuad hoki kebangsaan.

“MHC sangat menghargai sekiranya KBS boleh memberikan lebih perhatian dan peruntukan buat sukan hoki agar para pemain dapat diberikan fasiliti yang terbaik.

“Skuad hoki lelaki negara berjaya muncul naib juara Piala Asia dan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah, manakala pasukan hoki dalam dewan lelaki muncul juara Kejohanan Asia. Skuad wanita mendapat tempat ketiga dan ini adalah kemenangan besar buat MHC,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menghargai skuad Piala Sultan Azlan Shah dan skuad Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu.

Subahan juga optimis sukan hoki berpotensi menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen negara menerusi hoki padang dan hoki dalam dewan pada Sukan SEA Kemboja tahun depan.

“Kami juga sudah memberikan jaminan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa sukan hoki akan memberikan empat emas kepada Malaysia pada Sukan SEA Kemboja 2023 dengan dua daripada hoki padang dan dua hoki dalam dewan,” katanya.

Dalam majlis tersebut, MHC mengotakan janji kepada para pemain yang beraksi cemerlang dengan menyerahkan sumbangan bernilai RM300,000 sesuai dengan kemampuan persatuan itu.

“Sumbangan ini adalah berdasarkan kemampuan MHC dan kami tunaikan janji kepada pemain dengan memberikan saguhati. Pemain perlu memberikan aksi terbaik pada Piala Dunia supaya MHC boleh menarik lebih banyak penaja,” ujar Subahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Subahan turut mengumumkan skuad Speedy Tigers dijadualkan berlepas ke India pada 6 Januari dan akan mengadakan satu aksi persahabatan menentang Sepanyol sebagai persediaan menjelang Piala Dunia.