Minyak wangi tumpah punca pencemaran bau Sungai Semenyih

in Edisi by

Kerja-kerja penyedutan sisa cecair dilakukan kontraktor yang dilantik oleh LUAS berikutan tumpahan cecair minyak wangi dari sebuah kontena yang terlibat kemalangan di KM 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

SHAH ALAM – Tumpahan 17 tan cecair minyak wangi daripada sebuah kontena yang terlibat dalam kemalangan dikenal pasti menjadi punca pencemaran bau Sungai Semenyih yang mengakibatkan 472 kawasan di lima daerah di negeri ini mengalami gangguan bekalan air pada Sabtu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya memaklumkan, kontena membawa pati minyak wangi dalam 17 tangki intermediate bulk container (IBC) itu terlibat kemalangan di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Menurutnya, satu daripada tangki tersebut pecah, manakala sebuah lagi tangki bocor yang menyebabkan tumpahan.

“Kerja-kerja penyedutan sisa cecair berkenaan dilakukan kontraktor yang dilantik oleh LUAS dan juga bantuan dua lori tanker sedut milik pihak Indah Water Konsortium (IWK).

“Pengalihan kontena di lokasi yang diuruskan oleh pihak PLUS telah dimulakan pada jam 2.30 petang dan dijangkakan selesai pada jam 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

LUAS memaklumkan, tiada lagi aliran baki cecair masuk ke dalam sungai hasil daripada tindakan pencegahan membina ban pasir dan tambahan peletakan Activated Carbon (AC) di sepanjang aliran pencemaran di dalam longkang terlibat.

Jelasnya, bacaan bau di lokasi pemantauan statik LUAS 1.5km daripada muka sauk loji sehingga jam 2 petang masih dikesan sebanyak satu ton dan operasi Loji Rawatan Air (LRA) masih belum boleh dimulakan.

“LUAS dan semua pihak terlibat sedang melaksanakan tindakan pemulihan dengan kadar segera,” ujar kenyataan itu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sebanyak 472 kawasan di lima daerah di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 7 pagi, Sabtu.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, gangguan air itu susulan henti tugas LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi berikutan insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.