Misi Bantuan banjir: Telekung, sejadah paling banyak diterima

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by

Pasukan sukarelawan dari Negeri Sembilan ke Terengganu pada Sabtu.Noor Azlina (kanan) mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.Antara bungkusan bantuan yang dikumpul oleh tiga NGO berkenaan.

SEREMBAN – Telekung, sejadah, bantal dan toto antara barangan yang paling banyak diterima oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini sejak minggu lalu untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Terengganu pada Sabtu.

Tiga NGO berkenaan merupakan Baitul Syifa, Sukmas dan Misi Rakyat N9 yang turut bergerak menyertai misi bencana banjir di negeri Pantai Timur melibatkan 20 orang sukarelawan ke Kampung Jengal, Dungun,Terengganu.

Biro Dana dan Kebajikan Misi Rakyat N9, Noor Azlina Mohd Arifin berkata, kumpulan sukarelawannya terus ke kampung itu sebelum meneruskan agihan ke kawasan lain yang terpencil.

**media[2034155]**

“Antara barang lain yang kita terima adalah lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, makanan sedia dimakan anggaran untuk 200 keluarga dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM50,000.

“Usaha ini juga akan kita teruskan pada minggu hadapan dengan memberi fokus terhadap kutipan dana berbentuk barangan asas kira-kira 500 bungkus untuk diagihkan ke kawasan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Noor Azlina turut menjelaskan pihaknya tidak mengambil sebarang bantuan berbentuk pakaian terpakai.

“Kita tidak ambil kali ini (pakaian) sebab berdasarkan pengalaman sebelum ini kebanyakan baju yang didermakan adalah sangat lusuh dan tidak boleh dipakai selain mengambil masa yang agak lama untuk diasingkan.

“Kami begitu menghargai sumbangan semua pihak dan masih mengalu-alukan sumbangan selain pakaian untuk diagihkan pada minggu hadapan,” ujarnya.

Jelasnya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi di talian 012-3641116 atau Puan Intan (011-59094240) atau Puan Nani (011-13119673).

**media[2034157]**

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Kelantan, Terengganu dan Sarawak masih mencatat jumlah mangsa melebihi 1,000 orang setakat jam 6 pagi.

Berdasarkan laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 17,298 orang melibatkan 5,769 keluarga manakala 15,243 mangsa di Terengganu melibatkan 4,182 keluarga.