Projek rintis jualan minyak tanpa subsidi mulai Januari – KPDN

in Nasional by

Azman (dua dari kiri) melihat proses pembungkusan minyak masak selepas merasmikan kilang Pembungkusan Minyak Masak Halipah, Adam AMG Trading di Kompleks Wakaf Behor Lalang, Kangar pada Sabtu. – Foto Bernama

KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memulakan peraturan baharu bermula Januari depan bagi penjualan bahan bakar tanpa subsidi melibatkan RON95 dan diesel bagi kenderaan asing.

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, peraturan baharu itu sebagai projek rintis kepada negeri Perlis yang dinamakan ‘Ekonomi Sempadan – Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi.

Projek rintis itu antara lainnya membenarkan pembelian bahan bakar tanpa subsidi itu oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing yang masuk melalui pintu sempadan negeri ini.

“Kajian impak akan dilaksanakan selama tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat kepada negeri lain yang bersempadanan dengan negara jiran. Untuk makluman telah ada pengusaha stesen minyak komersial yang telah menjual bahan bakar tanpa subsidi itu di kawasan Padang Besar dan Wang Kelian.

“Kementerian kini sedang mengadakan libat urus dengan syarikat minyak lain untuk turut menawarkan bahan bakar tanpa subsidi itu. Langkah ini diambil bagi mengekang isu ketirisan yang dihadapi dan pada masa sama ia tidak memberi kesan negatif kepada kenderaan asing yang mengisi bahan bakar berkenaan,” katanya.

Azman berkata, harga bahan bakar tanpa subsidi (RON95 dan diesel) masih lagi murah berbanding yang dijual di negara jiran.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kilang Pembungkusan Minyak Masak Halipah keluaran bumiputera oleh syarikat Adam AMG Trading yang pertama di negeri ini di Kompleks Wakaf Behor Lalang di sini, hari ini.

Menurut Azman tindakan ini diambil kerana terdapat kes sebelum ini dikesan kenderaan asing mengisi diesel bersubsidi dalam kuantiti yang dihadkan tetapi di beberapa stesen minyak berasingan secara bergiliran.

Katanya, arahan yang dikeluarkan oleh KPDN pada 17 Jun lepas mengenai ketetapan dan larangan penjualan minyak RON95 dan larangan menjual minyak diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing manakala RON97 boleh dijual tanpa had.

“Masalah ketirisan bahan bakar itu (RON95 dan diesel bersubsidi) di negeri-negeri berhampiran sempadan dipandang serius KPDN kerana subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini turut dinikmati warganegara lain,” katanya. – Bernama