'Sasar selesai sumbangan bantuan banjir hari ini' – MySinar

in Edisi by

Antara mangsa banjir yang menerima sumbangan daripada MySinarMangsa banjir menerima sumbangan bantuan barangan daripada MySinar pada Sabtu. – Foto Rosdi Md Hasan

SHAH ALAM – Pertubuhan Sinar Prihatin Malaysia (MySinar) menyasarkan dapat memberikan kesemua sumbangan bantuan banjir kepada dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu pada Sabtu.

Ketua Projeknya, Rosdi Md Hasan berkata, pemberian sumbangan ini telah dibahagikan kepada empat kumpulan yang menumpukan kawasan seperti Besut, Terengganu manakala Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pasir Puteh di Kelantan.

“Kita sasarkan hari ini dapat selesai semua sebab tak banyak dah. Hari ini boleh habis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah Rosdi, bantuan banjir yang diagihkan oleh mereka adalah hasil sumbangan daripada individu dan syarikat korporat seperti Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

“Kita juga memberikan sumbangan tunai berjumlah RM50 hingga RM100 seorang kepada mangsa banjir seperti orang tua, orang kurang upaya dan mereka yang terjejas teruk,” ujarnya.

**media[2034378]**

Rosdi turut memaklumkan bantuan banjir ini disertai oleh 31 sukarelawan daripada empat badan bukan kerajaan (NGO) Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan menerima barang-barang keperluan untuk mangsa banjir atau sumbangan kewangan sebagai persiapan jika berlakunya gelombang kedua atau bagi negeri-negeri lain yang terjejas.

Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan tersebut boleh menghantar sumbangan mereka di pusat pengumpulan barang-barang keperluan mangsa banjir MySinar di Kompleks Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.

“Jika ada individu atau korporat yang mahu menderma dari segi kewangan juga boleh menyalurkan ke akaun Maybank MySinar 562218233147,” ujarnya.