Stesen minyak ambil masa lama untuk operasi selepas banjir

in Nasional by

Salah sebuah stesen minyak yang terjejas akibat banjir. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Beberapa stesen minyak di negeri yang terjejas teruk akibat banjir perlu melalui beberapa proses berhubung penutupan premis dan meneruskan operasi selepas banjir surut.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pengusaha perlu memastikan semua paip penurunan minyak di stesen mereka ditutup dengan selamat ketika banjir.

“Pengusaha perlu melaporkan kepada syarikat minyak (Petronas, Shell, Caltex, BHPetrol atau Petron) mengenai penutupan stesen minyak serta memberi taklimat kepada mereka mengenai situasi (banjir).

“Syarikat minyak kemudian akan memaklumkan kepada terminal minyak (penyimpanan minyak) untuk berhenti menghantar bekalan bahan api itu ke stesen sehingga diberitahu kelak… petugas akan sentiasa berhubung dengan pengusaha mengenai status banjir semasa,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai proses penutupan stesen minyak semasa situasi banjir.

Khairul Annuar berkata, selepas insiden banjir teruk, operasi stesen minyak akan mengambil masa lama iaitu ada yang sampai sebulan untuk pulih sepenuhnya kerana mereka perlu baiki dan memulihkan stesen berkenaan.

“Biasanya selepas banjir, jualan minyak akan disambung semula dengan bayaran tunai jika sistem (elektrik, internet dan sistem pembayaran kad) tidak tersedia kerana ia perlu set semula.

“Kedai pula akan mengambil masa lebih lama untuk dibaiki dan ini akan menjejaskan jualan tetap serta pendapatan mereka,” katanya.

Khairul Annuar berkata, tuntutan insurans merupakan proses yang sukar terutama stesen minyak yang kerap dilanda banjir dan dalam sesetengah kes terdapat syarikat insurans yang tidak akan menanggung kerugian.

“Bagi kes banjir yang kecil, pengusaha stesen boleh beroperasi sepenuhnya selepas dua atau tiga hari terutama apabila tiada peralatan yang rosak,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat rancangan alternatif untuk membekalkan petrol kepada penduduk susulan kejadian banjir, beliau berkata, terdapat perkhidmatan pengisian minyak bergerak yang dipanggil ROVR disediakan oleh sebuah syarikat minyak.

Khairul Annuar berkata, ROVR akan digerakkan sekiranya terdapat akses ke kawasan terjejas banjir.

Menurutnya, ahli PDAM diminta untuk memuat turun aplikasi MyPublicInfoBanjir atau memantau melalui laman web infoBanjir mengenai situasi banjir dan juga paras air di sungai dan empangan. – Bernama