Terpaksa 'berpantang' di PPS selepas khatan

in Edisi by

Norhana dan Muhamad Aiman tinggal di PPS Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, sejak dua minggu lalu

SEGAMAT – Seorang kanak-kanak lelaki yang baru bersunat terpaksa ‘berpantang’ di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Batu Badak di sini kerana rumahnya di Kampung Seberang Batu Badak dilanda banjir lebih dua minggu lalu.

Muhamad Amin Sufian, 9, berpantang dalam keadaan kurang selesa di PPS tersebut bersama ibu, bapa dan adiknya termasuk datuk serta neneknya selepas bersunat di Klinik Kesihatan Buloh Kasap berhampiran rumahnya pada pagi Sabtu.

Menurut ibunya, Norhana Muhammad, 30, anak sulung kepada dua beradik dan belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Besar itu setuju bersunat dengan syarat bersama rakan dalam program berkhatan beramai-ramai.

“Hanya Muhamad Amin dari PPS ini bersunat. Saya harap dapat pulang segera supaya dia dapat berpantang di rumah. Memang tiada perancangan untuk dia bersunat sebelum ini kerana kami sekeluarga tumpu masalah banjir.

“Apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip datang melawat mangsa banjir di PPS ini pada 16 Disember lalu dan memberitahu akan mengadakan program khatan, saya bersetuju Muhamad Amin menyertainya,” katanya ditemui di PPS itu, pada Sabtu.

Mangsa banjir lain, Aisyah Abdul Hamid, 63, dari kampung tersebut berkata, sudah tiga kali banjir melanda kampung itu dan kawasan berhampiran iaitu pada pertengahan tahun, bulan lalu dan terbaharu awal bulan ini.

“Kami sudah berpindah ke PPS ini sejak 11 Disember lalu dan harap dapat segera pulang membersihkan rumah selain bimbang keselamatan dan lima ekor kucing yang ditinggalkan di rumah,” ujar ibu kepada empat anak itu.

Bagi Hussin Kanan, 60, juga dari kampung berkenaan, mereka akan dibenarkan pulang pada malam Sabtu atau pagi Ahad tetapi bergantung dengan keadaan cuaca.

“Pada masa ini banjir sudah surut di pekarangan rumah tapi masih tidak dibenarkan pulang. Ini kerana jika hujan lebat pada bila-bila masa selama dua jam, air dari Sungai Muar akan melimpah dan naik semula di rumah,” ujar bapa kepada tiga anak itu yang bekerja sebagai tukang rumah.

Muhamad Ahmad, 64, yang tinggal di kawasan itu sejak kecil mahu kerajaan segera membina projek ban untuk tebatan banjir yang sudah lama dirancang bagi mengatasi masalah tersebut dari Buloh Kasap sehingga Tekam di sini.

“Projek ini sudah diluluskan tetapi masih tidak dibuat dan kami harap disegerakan. Kerajaan ada menawarkan untuk mangsa banjir di kampung ini berpindah ke rumah baharu tetapi saya tidak mahu kerana sayang rumah pusaka ini,” katanya.

Raja Nurul Roshidah Raja Shahrin, 25, yang pulang bercuti di rumah keluarganya di kampung itu sempena perayaan Krismas, sudah jangka percutian kali ini akan tinggal di PPS.

Dia yang masih belum berkahwin dan tinggal di Kajang menjalankan perniagaan dalam talian bimbang, sekiranya Empangan Juaseh pecah, banjir lebih besar akan berlaku sehingga menenggelamkan terus rumah sehingga ke paras bumbung.