Tiada sambutan tahun baharu peringkat Selangor

in Edisi by

Amirudin berucap pada Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) di pekarangan Stadium Shah Alam Seksyen 13, pada Sabtu. – Foto Bernama

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor tidak akan mengadakan sambutan Tahun Baharu 2023 sebagai menghormati mangsa tragedi tanah runtuh di Family’s Organic Farm pada 16 Disember lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merujuk kepada program peringkat negeri membabitkan peruntukan atau dana kerajaan negeri.

Bagaimanapun menurutnya, tiada halangan pihak persendirian atau organisasi mengadakan sambutan tersebut.

“Kita dah buat pengumuman awal (tiada sambutan tahun baharu) di peringkat negeri namun kita tiada hak menghalang pihak persendirian atau organisasi meneruskan program mereka.

“Kalau ada yang nak sambut, kita nasihatkan adakan secara sederhana bagi hormati mangsa. Kita sedang berada di musim bencana dan berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Daruo Ehsan (RIDE) Majlis Sukan Negeri Selangor di Stadium Shah Alam pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kerajaan membatalkan sambutan ambang Tahun Baru 2023 yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.

Beliau berkata, pembatalan itu susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa ini.

Amirudin berkata, pihaknya tidak menolak sambutan tahun baharu itu digantikan dengan mengadakan solat hajat di masjid dan surau seperti diadakan seperti tahun-tahun sebelum ini.