Tragedi Batang Kali: Anggota APM pengsan akibat dehidrasi

in Berita Semasa by

Muhamad Faiq dibawa keluar menaiki ambulans untuk menerima rawatan di Hospital Selayang.

BATANG KALI – Cuaca panas terik di lokasi tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm di sini menyebabkan seorang anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pengsan pada Sabtu.

APM Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan anggotanya, Prebet Muhamad Faiq Haikhal Mohd Jeffry bertugas di kawasan ‘red zone’ sejak operasi SAR bermula sekitar jam 7.30 pagi mengalami dehidrasi.

“Muhamad Faiq pengsan sekitar jam 1 petang tadi dipercayai akibat cuaca panas, pada masa sama kekurangan makanan dan air.

“Beliau merupakan anggota dari APM Sabak bernam telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut,” menurut kenyataan pada Sabtu.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan operasi SAR seorang kanak-kanak lelaki mangsa tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm, yang masih hilang di sini diteruskan masuk hari kesembilan pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi akan ditumpukan di sektor A (hillview).