Wanita hamil cuba samun kedai emas ditahan polis

in Berita Semasa by

MELAKA – Gara-gara mahu mencuba sesuatu yang ekstrem, seorang wanita ditahan di rumahnya di Kampung Kuala Linggi dipercayai terlibat dalam cubaan samun di sebuah kedai emas baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asistem Komisioner Christopher Patit berkata, bertindak atas maklumat, suspek berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira 5 petang Khamis lepas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Siasatan awal mendapati wanita itu sedang hamil dan mempunyai suami serta tiga anak selain bekerja sebagai eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat swasta.

“Dipercayai motif suspek melakukan perkara itu kerana ingin mencuba sesuatu yang ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu klip video berkaitan kejadian itu di laman sosial dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai emas berkenaan yang memaparkan seorang wanita berjubah dan berpelitup muka dipercayai cuba menyamun menggunakan sebilah pisau di sebuah pasar di Ayer Keroh.

Christopher berkata, dalam kejadian pada 20 Disember lepas kira-kira 4.45 petang itu, suspek masuk ke kedai dan berpura-pura ingin membeli emas, secara tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau dan mengacukannya kepada pengadu yang juga pekerja kedai ketika melayani suspek.

Menurut beliau, wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya selain polis turut merampas sebilah pisau berukuran 13 sentimeter yang digunakan dalam kejadian terbabit.

“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 27 Disember dan siasatan lanjut diteruskan. Kes disiasat di bawah Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cuba merompak menggunakan senjata,” katanya. – Bernama