Yadim bantu lebih 4,000 mangsa banjir Kelantan, Terengganu

in Edisi by

Tuan Kamarul Arief (dua dari kiri) ketika Misi Bantuan Banjir Yadim di Pantai Timur di Sekolah Menengah Kebangsaan Geting pada Jumaat.

KOTA BHARU – Lebih 4,000 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu menerima bantuan dalam misi melibatkan 300 sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di dua negeri itu.

Sukarelawan dari Putrajaya, Kelantan dan Terengganu itu turut bergotong-royong membersihkan sekolah dan pusat tahfiz yang dilanda bencana berkenaan sejak dua minggu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, misi empat hari bermula Khamis memfokuskan di lokasi terjejas teruk.

Menurut beliau, antara lokasi tumpuan ialah Pengkalan Kubor, Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh di Kelantan manakala di Terengganu melibatkan Gong Badak di Kuala Nerus; Kuala Terengganu dan Besut.

“Kita mengagihkan kit makanan sedia dimakan, tilam nipis, lampin pakai buang, tuala mandi dan tuala wanita.

“Sukarelawan Yadim turut menghantar keperluan mangsa banjir di kawasan yang terkepung banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) berdaftar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tuan Kamarul Arief turut memberitahu, seramai 10,000 sukarelawan yayasan itu di seluruh negara bersedia digerakkan untuk membantu mangsa banjir ini.

Tambah beliau, pihaknya turut menyasarkan kutipan sumbangan sehingga RM500,000 daripada orang ramai dan syarikat korporat untuk disalurkan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Katanya, sehingga kini, sejumlah RM250,000 diperoleh pada masa ini hasil sumbangan individu, korporat, institusi berkaitan dan peruntukan dalaman.