Harimau Malaya nekad kerja keras buru kemenangan

in Sukan by

Pemain pasukan kebangsaan meraikan jaringan pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. – Foto Bernama.

KUALA LUMPUR – Selepas meraih dua kemenangan berturut-turut, Malaysia menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu ketika berdepan Vietnam pada aksi tumpuan Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Hanoi, Selasa depan.

Pemain sayap negara Mohamad Faisal Abdul Halim berkata, keputusan positif berdepan skuad ‘Golden Star Warriors’ pada pertembungan di Stadium Nasional My Dinh itu akan mencerahkan peluang Malaysia layak ke peringkat separuh akhir selepas mengumpul keseluruhan enam mata setakat ini.

Katanya, beliau dan rakan sepasukan akan bekerja keras bagi memburu keputusan yang diinginkan kerana kekalahan bukan pilihan skuad Harimau Malaya apabila bertandang ke Hanoi.

“Sudah tentu kita belum berada dalam zon selesa dan perlu bekerja keras, tetapi apa yang penting kita pergi ke Vietnam bukan untuk kalah. Kita pergi ke sana untuk cari mata yang kita rasakan mampu kita dapat, kalau seri pun dah bersyukur dan kita akan berjuang pada aksi terakhir.

“Kita ada enam mata dan enam jaringan tanpa bolos, saya harap kami dapat pertahankan kelebihan pasukan sekarang. Jika kita dapat buat sesuatu di Vietnam sudah tentu kita ada peluang untuk ke pusingan seterusnya,” katanya selepas perlawanan kedua Kumpulan B antara Malaysia dengan Laos, semalam.

Pada aksi di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu, Malaysia menumpaskan Laos 5-0 dengan Mohamad Faisal yang baru diumumkan menyertai pasukan Selangor FC, meledak dua gol menerusi tandukan pada babak kedua sekali gus mengumpul keseluruhan tiga gol.

Mohamad Faisal dan penyerang Filipina Kenshiro Daniels kini mendahului carta penjaring terbanyak apabila masing-masing mengumpul tiga gol selepas dua perlawanan.

Sementara itu, ketua pasukan negara Muhammad Safawi Rasid yang cemerlang membuat dua bantuan gol semalam, berkata Malaysia sudah bersedia menghadapi cabaran Vietnam yang menghuni ranking ke-96 dunia.

Meskipun ranking Vietnam lebih tinggi berbanding Malaysia di kedudukan ke-145, Muhammad Safawi yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melihat situasi itu sebagai penghalang untuk pasukan negara mencipta kejutan.

“Dari segi fizikal dan mental kami bersedia sebab kita pergi ke Vietnam, ia akan jadi satu perlawanan yang sukar, jadi kita akan bagi segalanya… sudah tentu kita nak tiga mata untuk layak ke separuh akhir,” katanya yang dipinjamkan ke kelab Thailand Ratchaburi FC bermula musim depan.

Selepas dua perlawanan, Malaysia kini mendahului saingan kumpulan dengan kelebihan tiga mata di depan Vietnam (kedua) dan Singapura (ketiga) yang baru beraksi sekali dan dipisahkan dengan perbezaan jumlah gol manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata. – Bernama.