'Kita patut boleh jaringkan lebih banyak gol' – Pan Gon

in Sukan by

Kim Pan Gon pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. – Foto Bernama

KEJAYAAN mengalahkan Laos dengan lima gol pada perlawanan kedua Kumpulan B Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN 2022 (AFF), membuktikan bahawa Harimau Malaya sebuah pasukan berkualiti tinggi.

Selepas menewaskan Kemboja 1-0 pada perlawanan pertama mereka pada Rabu, Ketua Jurulatih Bola Sepak Kebangsaan, Kim Pan Gon berkata, beliau dapat merasakan keinginan anak buahnya untuk menjaringkan sebanyak gol yang mereka mahukan, pada perlawanan yang berlangsung di hadapan 29,961 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Kami berhadapan dengan keadaan sukar pada separuh masa pertama kerana Laos bermain dengan baik dan tidak memberikan kami banyak ruang untuk menjaringkan gol. Ketika rehat separuh masa, saya menggalakkan pemain untuk menunjukkan lebih usaha dan melihat kepada potensi mereka.

“Kami tidak boleh hilang peluang yang diperolehi kerana kadang-kala ia suatu yang sukar didapati. Saya gembira pemain saya berikan reaksi yang bagus (separuh masa kedua) dan mereka tunjukkannya kerana mereka itu pemain yang bagus, tetapi saya rasa kita sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam ini.

Ketika ditanya sama ada momentum yang sama dapat dibawa ketika bertemu juara dua kali Vietnam pada perlawanan seterusnya di Hanoi, jurulatih dari Korea Selatan itu hanya menyatakan: “Kami bercadang untuk menyerang mereka”.