'Penat bersihkan lumpur tebal separas betis'

in Nasional by

Keadaan rumah Sulaini di Kampung La yang masih dalam kerja-kerja pembersihan pada Sabtu.SulainiSulaini menunjukkan sebahagian bumbung dapur rumahnya yang hilang dihanyutkan arus deras banjir.

BESUT – Lumpur tebal yang dibawa arus banjir besar di Kampung La, Hulu Besut, di sini mengambil masa agak lama untuk dibersihkan.

Seorang suri rumah, Sulaini Ghani, 45, berkata, rumahnya yang ditenggelami banjir sedalam hampir 6 meter dipenuhi lumpur separas betis orang dewasa.

“Saya terkejut melihat peti ais, mesin basuh, mesin penapis air, perabot, pakaian dan barangan lain ditenggelami air. Lumpur juga tebal, makan masa untuk dibersihkan,” katanya.

**media[2034831]**

Menurut Sulaini, dia bersyukur kerana kira-kira 10 ahli keluarga turut datang membantu membersihkan rumah yang terjejas teruk dan kerja-kerja tersebut mengambil masa sehingga tiga hari.

Mengakui kepenatan menguruskan sisa-sisa banjir, dia berkata, bencana kali ini merupakan antara yang terburuk sepanjang 22 tahun tinggal di Kampung La.

Selain kerosakan harta benda, Sulaini turut pasrah apabila sebahagian bumbung dapur dan garaj kereta lesap dihanyutkan arus deras dengan kerugian keseluruhan dianggarkan RM30,000.

**media[2034824]**

“Air memang dalam sampai rumah nampak bumbung saja. Air masuk sehingga loteng ketiga. Sebelum ini banjir tidak pernah cecah loteng, sekadar dalam rumah saja,” tuturnya.

Wanita itu bagaimanapun bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri bersama suami dan anak ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Kampung La yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.